LATAR BELAKANG
Hadis dan Akidah adalah antara elemen penting dalam peradaban Islam. Karya-karya berunsurkan hadis dan akidah para sarjana Islam menjadi rujukan dan bacaan samada dalam kalangan Muslim atau Non-Muslim.
Kedatangan Islam ke Nusantara dengan ajarannya yang mulia, melekat kuat ke dalam jiwa Alam Melayu sehingga sinonim Alam Melayu dan Islam. Para sarjana terdahulu banyak menukilkan karya-karya berkaitan hadis dan akidah untuk tatapan generasi mendatang supaya kebudayaan ilmu Islam-Melayu ini terpahat di jiwa anak watan.
Akan tetapi, kedatangan penjajah cuba untuk tatasusila ilmu Alam Melayu dengan merampas dan mencuri semua ilmu dan peradaban Melayu. Mereka juga memaksa rela ajaran mereka supaya anak watan jauh dari budaya Islam tinggalan nenek moyang mereka. Ironinya mereka tidak berjaya mengubah teras hadis dan akidah Melayu-Islam kerana para sarjana terus berkarya dalam memastikan kelestarian ilmu warisan Islam tidak hilang dari Alam Melayu. Namun zaman berganti dan turath ilmu Melayu-Islam semakin dilupakan dan semakin lapuk dek hujan.
Justeru, sebagai sebuah institusi yang menjunjung motto UIS sebagai Peneraju Tradisi Ilmu, INHAD mengorak langkah progresif untuk mengumpulkan para sarjana samada dalam dan luar negara untuk mengkaji dan berbincang sekaligus memelihara turath Islami di Alam Melayu.
Bertemakan 'Turath Islami di Alam Melayu: Cabaran dan Kelestarian' , seminar dan muzakarah kali ini diharap dapat memberikan impak yang positif kepada kajian-kajian hadis dan akidah para sarjana Melayu-Islam Nusantara terdahulu dan terkemudian serta menjadikan INHAD sebagai salah satu medium pilihan dalam menjaga dan menyampaikan teras Islam sesuai dengan cogankata INHAD, ' Sampaikan dariku walau sepotong ayat'.
OBJEKTIF
a. Memperkasakan pengetahuan tentang turath Islami yang berbentuk karya-karya berkenaan hadis dan akidah dari sarjana Alam Melayu.
b. Membincangkan gerak kerja dan tindakan untuk memastikan turath Islami kekal relevan dan dapat dijadikan rujukan zaman berzaman.
c. Merungkai permasalahan alam dan menangani isu-isu yang timbul dalam menjaga kelestarian turath Islami.