Seminar Kebangsaan Pengajian Tinggi Peringkat Asasi 2016 | Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

2.0 LATAR BELAKANG

Pembangunan pengurusan pengajaran dan pembelajaran (P&P) merupakan satu usaha berterusan dan dinamik. Ia memerlukan penglibatan dan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan bidang ini terus berkembang dengan inovasi terbaru yang releven dengan kepelbagaian kepakaran. Kelebihan dalam kepelbagaian teknik P&P ini, harus diraikan kerana menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan daripada sudut pandang yang pelbagai.

Penganjuran Seminar Kebangsaan Pengajian Tinggi Peringkat Asasi 2016 perlu dilihat oleh semua pihak sebagai salah satu pendekatan yang penting dalam pembangunan penyelidikan berkaitan pengurusan P&P yang positif. Proses membangunkan penyelidikan dan kaedah pengajaran bukanlah satu usaha yang mudah, sebaliknya memerlukan satu perancangan strategik sama ada ia bersifat jangka panjang mahupun jangka pendek.

Penglibatan daripada pihak pembuat dasar, pelaksana dan penyelidik dari seluruh negara adalah diharapkan dapat menyumbang dan berkongsi pengetahuan dalam inovasi terkini pendidikan sebagai suatu usaha pembentukan masyarakat pendidik yang mempunyai aras pemikiran tinggi pada masa akan datang.

Tujuan utama seminar ini adalah untuk menyediakan satu landasan bagi para penyelidik, pendidik, pelajar pasca siswazah dan penggubal dasar di peringkat asasi mahupun peringkat yang lebih tinggi untuk berkongsi maklumat, mengenal pasti cabaran masa hadapan serta menyediakan idea bagi memenuhi keperluan generasi akan datang.