RESOLUSI MFIFC 2016

USUL RESOLUSI MUZAKARAH FIQH & INTERNATIONAL FIQH CONFERENCE 2016
23 NOVEMBER 2016
TEMA : FLEKSIBILITI FIQH & SIYASAH SYARIYYAH MENDEPANI CABARAN SEMASA

Menghayati perintah Allah s.w.t dalam surah al-Nahl ayat 90, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk berlaku adil dan ihsan, dan mengeluarkan belanja kepada kaum kerabat, mencegah perkara-perkara keji dan mungkar serta menindas hak”, terkandung dalam firman ini teras yang menjadi kata kunci dalam prinsip al-Siyasah al-Syar’iyyah iaitu untuk mencapai keadilan, menghindarkan segala bentuk kezaliman dan melindungi hak-hak serta kepentingan ummat manusia dan alam.

Memahami sunnatu’llah dalam penciptaan makhluk dan hakikat kemanusiaan yang kejadiaannya membangun dan berkembang tidak sahaja secara biologis dan fizikal tetapi juga budaya dan amalan beragama dan bermasyarakat.

Menyedari hakikat bahawa pembangunan negara Malaysia dibentuk oleh latar belakang sejarah yang unik dan tersendiri, realiti kemajmukan jelas terjelma dalam pelbagai aspek kehidupan, menjadi tuntutan dan cabaran bagi pemimpin secara umumnya dan para mufti secara khususnya meningkatkan usaha mengaktualisasi dan menterjemahkan prinsip al-Siyasah al-Syar’iyyah dalam setiap pandangan berkaitan perkembangan individu dan masyarakat Muslim serta pembangunan negara Malaysia.

Bagi tujuan tersebut, Muzakarah Fiqh dan International Fiqh Conference 2016 mencadangkan usul-usul berikut :

1. Prinsip fleksibiliti fiqh hendaklah difahami dan dihadam dengan mendalam oleh seluruh ahli ilmuan dan mujtahid memandangkan kepentingannya sebagai pendekatan yang unggul bagi aktualisasi Syariah dalam realiti kehidupan manusia. Antara prinsip yang digagaskan dalam muzakarah ini adalah seperti berikut : 
  a. Pengeluaran fatwa mesti ditegakkan di atas prinsip taqwa dan waqi’ seiring dengan keperluan semasa dan zaman.
  b. Institusi fatwa dan peranan mufti harus terus dihormati dan didokong sebagai institusi rasmi dan berautoriti dalam memberikan pandangan berkaitan sesuatu hukum agama di Malaysia.
  c. Fatwa hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mempunyai malakah dalam ilmu fatwa dan rasakhah dalam mengeluarkan sesuatu fatwa atau irsyad.
  d. Rujukan kepada sumber fatwa perlu diperluaskan, disamping berpegang dengan sumber-sumber asal Syariah Islam. Rujukan fatwa juga perlu mengambilkira perkembangan ilmu-ilmu kontemporari yang berkembang di dalam dunia.
  e. Jabatan mufti perlu bekerjasama erat dengan ahli-ahli profesional dalam bidang-bidang tertentu sebelum memberikan pandangan hukum berkaitan sesuatu permasalahan agama.
  f. Para mufti perlu membangunkan pendekatan kontekstual dalam memberikan pandangan fiqhiyyah semasa sejajar dengan sifat al-Siyasah a-Syar’iyyah yang sesuai digunakan di semua tempat dan zaman.
  g. Pengeluaran fatwa perlu bersifat kontemporari tanpa terikat dengan ijtihad dan tulisan klasik yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa, bahkan perlu dihidupkan dan sesuai dengan uruf yang sahih.
  h. Keanggotaan sesebuah institusi fatwa yang terdiri dari kepelbagaian latar belakang dan kepakaran bidang ilmu akan memastikan kredibiliti fatwa dan institusi terus dihormati dalam masyarakat.
  i. Muzakarah turut bersetuju bahawa fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan perlu disebarkan luaskan kepada masyarakat melalui medium teknologi terkini.
2. Mengambil iktibar dari ketokohan para ulama terdahulu dan sumbangan mereka terhadap perkembangan ilmu al-Siyasah al-Syar’iyyah, semangat dan pengalaman mereka dalam bidang ilmu al-Siyasah al-Syar’iyyah perlu terus disemarakkan malah diperluaskan bidang perbincangannya agar sesuai dengan konteks semasa dan perubahan zaman.

Sistem pentadbiran berasaskan al-Siyasah al-Syar’iyyah juga perlu didokong dan diperkukuhkan di peringkat pemerintahan Negara dan negeri-negeri sehingga ia dapat diamalkan oleh semua pemimpin dan ahli masyarakat memandangkan kepentingannya sebagai pendekatan yang terbaik dalam aktualisasi Syariah dalam konteks semasa. Antara prinsip yang digagaskan dalam muzakarah ini adalah seperti berikut:

  i. Konsep al-Siyasah al-Syar’iyyah perlu terus diperkasa sebagai satu disiplin ilmu yang dinamik dan mampu menangani perubahan dan menjadi tonggak relevansi Syari’at Islamiyyah di sepanjang zaman.
  ii. Pengambilan al-Siyasah al-Syar’iyyah dalam politik tanahair perlu didasarkan kepada mabda al-shura dan dhawabit maslahah serta Qawaid al-fiqhiyyah al-ammah agar integritinya tidak tersasar dari matlamat pelaksanaan al-Siyasah al-Syar’iyyah itu sendiri iaitu bagi mencapai maslahah dan menolak mafsadah ke atas manusia.
  iii. Potensi para ilmuan dan ahli akademik hendaklah digembleng dalam menguasai bidang ilmu al-siyasah al-syar’iyyah bagi tujuan mengumpulkan kekuatan untuk tampil dalam mendepani isu-isu berkaitan al-siyasah al-syar’iyyah dalam pemerintahan dan pentadbiran di Malaysia.
  iv. Masyarakat umum perlu diberikan kefahaman mendalam tentang hakikat al-siyasah al-syar’iyyah dalam menyantuni perbezaan pandangan bersabit isu-isu fleksibiliti fiqh.
  v. Doktrin berkaitan al-Siyasah al-Sayar’iyyah dan penggunaan istilah yang berkaitan perlu disesuaikan selari dengan perubahan realiti dan konteks semasa.
  vi. Pemerkasaan ilmu berkaitan al-Siyasah al-Syar’iyyah perlu dirancang secara berterusan menerusi sebuah pelan jangka pendek dan panjang. Penumpuan penyelidikan dan penerbitan bertemakan al-Siyasah al-Syar’iyyah dicadangkan menjadi niche di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan dokongan Kerajaan Negeri Selangor yang berperanan untuk mengkaji, meneliti potensi dan merancang program-program bersepadu untuk seperti wacana-wacana ilmiah bagi menjayakan pelaksanaan al-Siyasah al-Syar’iyyah.

Sekian.
Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
23 November 2016 bersamaan 11 Safar 1436h