RESOLUSI MULTAQA FUQAHA KEBANGSAAN 2017

Bismillahi Rahmanir Rahim

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yahudi yang telah bercerai berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas (dibawa oleh Nabi). Dan mereka bersifat demikian akan beroleh azab yang besar. " (Al-Imran :105)

Multaqa Fuqaha Kebangsaan 2017, anjuran Fakulti Undang-undang Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dewan Pendidikan, Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Institut Maqasid Syariah (INSMAQ) Universiti Selangor, yang berlangsung pada hari Khamis, 16 November 2017 di Grand Ballroom, Hotel Bangi- Putrajaya Bangi Selangor Darul Ehsan yang bertemakan “Mengurus Perbezaan Membina Kesatuan Ummah“ dengan ini sejumlah seramai 142 peserta merangkumi kalangan Ahli-Ahli Akademik Universiti, para pentadbir jabatan agama, profesional, mahasiswa universiti dengan ini menyedari akan latar isu-isu dan cabaran ummah yang mendepani perbezaan (ikhtilaf) dan bagaimana untuk mengurus dengan baik selaras dengan tuntutan Syarak.

Multaqa pada kali ini telah memilih beberapa tajuk untuk dibahaskan dan dibentang oleh pakar-pakar yang dipilih berdasarkan kepakaran yang terbaik dengan menyeluruh dan membicara dan mengutarakan pandangan dan idea-idea menangani isu-isu ikhtilaf dengan tema-tema utama dalam mengurus perbezaan umat di negara ini, antaranya :

a. Isu-Isu Khilafiah : Peranan Institusi Fatwa dan Agama
b. Pengurusan Ikhtilaf Dalam Politik dan Pentadbiran
c. Pengurusan Ikhtilaf Dalam Konteks Hubungan Kaum
a. Menyedari akan kepentingan memahami makna Ikhtilaf menurut Islam dan menerima hakikat akan perbezaan dalam kalangan ummah ini adalah merupakan suatu manifestasi Anugerah Allah SWT yang paling tinggi sebagai Khalifah di atas muka bumi ini. Perbezaan ini adalah petanda Kekuasaan Allah SWT untuk menilai sejauhmana kalangan hambanya yang bertaqwa.
b. Menyedari bahawa keperluan untuk saling menghormati sesama Muslim khususnya dalam aspek-aspek perbezaan fekah yang mana ianya harus diurus dengan baik dengan itu ia boleh memberi impak dan manfaat besar kepada Ummah dan Negara. Sebarang perbezaan harus diurus dengan penuh hikmah dan tidak menimbulkan ketegangan dan pertembungan pemikiran dan akhlak. Ini sepertimana yang diungkapkan oleh Syaikh Abd al-Rasyid Ridha: ” نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه ” Maksudnya : “Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah”.
c. Menyatakan kebimbangan dikalangan masyarakat didalam negara yang sering mempertikaikan kesyumulan Islam serta menimbulkan banyak keraguan-keraguan yang tidak munasabah dan ianya boleh menyebabkan usaha-usaha kesatuan ummah terbantut. Ini termasuklah membesar-besarkan masalah furu’ (cabang) yang boleh memecahbelahkan ummah.
d. Menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang komited dalam membangunkan ummah, berteraskan Mazhab Syafie yang telah diwartakan dalam enekmen pentadbiran agama negeri-negeri. Dalam pada itu perlu ada sikap saling menghormati dan tidak menolak kepelbagaian mazhab selagi mana meraikan adab-adab iktilaf dan perbezaan pendapat. Ini perlu dengan sebab mengambil kira kepelbagaian agama dan kaum dalam konteks masyarakat Malaysia.
e. Menyedari hakikat bahawa kesatuan ummah harus didasari dengan prinsip dan dasar yang jelas iaitu untuk memartabatkan syariat sebagai rujukan dan amalan dikalangan ummah, maka sebarang usaha membantutkannya termasuklah usaha-usaha memecahbelah ummah harus disekat

Justeru Multaqa Fuqaha’ Kebangsaan 2017 pada kali ini menggariskan dan membuat resolusi seperti berikut:

1. Menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang bersifat ikatan solidariti dianggotai oleh para ilmuwan, pertubuhan NGO dan pergerakan islam yang mewakili kepentingan umat Islam sebagai kelompok ketiga yang akan menjadi pengimbang dan pendamai terhadap usaha penyatuan ummah dan penyelesai kepada perbezaan-perbezaan yang boleh memecahbelahkan dalam negara.
2. Menggerakkan kegiatan ilmiah dikalangan fuqaha bagi mengukuhkan idea bangsa Malaysia sebagai salah satu gagasan kearah mewujudkan kesatuan dikalangan masyarakat berbilang kaum bersandarkan kepada konsep ummah Malaysia.
3. Mendidik masyarakat supaya mempunyai sikap menghormati institusi-institusi agama dan pandangan Ulama Islam yang berwibawa dan bagaimana mendepani isu perbezaan pandangan dikalangan tokoh.
4. Menjalinkan satu kegiatan perhubungan yang proaktif antara para fuqaha di Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara ke arah membina satu keselarasan usaha bersama dalam aspek fiqh dan pembangunan ummah yang menyeluruh.
5. Menggalakan kegiatan penulisan dalam kalangan fuqaha bagi menjelaskan pelbagai persoalan berkaitan kesatuan dan pembangunan ummah menerusi wadah penerbitan bersama yang diselia oleh MDN, KUIS dan UNISEL.
6. Mengembangkan pemahaman ilmu maqasid al syariyyah dikalangan masyarakat terutama generasi muda sebagai wasilah ilmiah pembinaan keselarasan fikrah kesatuan dan pembangunan ummah.
7. Dicadangkan forum ini menjadi agenda tahunan dengan mengumpulkan seramai mungkin fuqaha nasional daripada pelbagai latarbelakang seperti universiti, NGO, institusi penyelidikan, institusi pondok dan lain-lain.

Disediakan :
Panel Resolusi Multaqa

Fakulti Syariah & Undang-undang, KUIS
Dewan Pendidikan MDN-YADIM
Institut Maqasid Syariah (INSMAQ) UNISEL